02 June 2012

Kata - Aku Faham



Seorang hawa datang kepada aku. Berseorangan. Tampak cun walaupun matanya kelihatan kemerah merahan, tanda menangis mungkin. Dia senyum kepadaku. Aku yang dari tadi duduk di bawah pohon rendang itu pun lantas berdiri lalu mendapatkannya. Aku genggam kemas jari jemari halusnya. Aku tahu dia resah.


Dia bercerita akan masalah yang dihadapinya. Aku dengar dengan penuh teliti. Ya, sememangnya aku seorang pendengar yang baik. Setiap butir permasalahannya aku sambut dengan logistik di fikiran. Akhir bercerita, dia meminta pendapat aku.

Aku menjawab dengan penuh berhati hati. Aku yakin dengan kata kata aku. Kata kata yang mungkin mengkritik pada perlakuan dia, tapi itulah kebenarannya juga. Di setiap perkataan itu, aku sedaya upaya memberi kata semangat berbentuk kiasan. Faham atau tidak, aku serahkan pada dia.

Aku puas dapat meluahkan pendapat aku. Tapi dia membentak. Dia kata aku tak faham dengan permasalahan dia. Dia kata aku tak cuba duduk di tempat dia sekarang. Dia kata aku cakap ikut suka mulut.

Ya, aku tahu aku telah memberikan pendapat yang di luar permasalahan dia sebenarnya. Lari tajuk orang kata. Aku sedar tu. Dan sesungguhnya, aku bukan sengaja berkata kata sebegitu.

Kerana, percayalah kejujuran itu adalah satu dosa. Dosa yang berbentuk kebodohan dia.

*Sekarang siapa yang tak faham sebenarnya?


01 May 2012

Selamat Datang May



Haba menderu masuk ke liang rumah
bahangnya siapa mahu
sesak dan buntu
ke mana mahu lari?

Malam itu jendela dibuka
terasa nyaman
udara malam berebut memasuki
setiap genap ruang tubuh
hirupan demi hirupan
tidak dibazirkan walau sedikit

Pandangan tepat dari jendela
langit gelap terbentang luas
keajaiban
the lonestar muncul
bintang yang sendirian tetapi paling bersinar
kamu cantik - aku suka

Ketiduran di depan jendela
berselimutkan keindahan alam
dalam kepekatan malam
tepat pukul 12.30 pagi
bangun - terus mencari the lonestar

The lonestar hilang
carian di tempat lain juga tiada
ah, adakah ini tanda
berakhirnya episod bersama the lonestar?

Jika begitu - terima kasih
aku hargai kehilanganmu
bikin jiwa rasa terlepas
terlepas dari penantian dan sengsara
walau sungguh
aku suka kau

Tersenyum
selamat tinggal April
semoga May menjadi titik baru


08 March 2012

Kerana Penutup Botol



Suatu hari aku bangun dari tidur. Meraba raba ke dada, rompong. Hati aku hilang! Aku risau. Pelik, adakah semalam aku dermakan hati aku pada orang? Adakah aku buang hati aku sendiri? Atau adakah ada orang curi hati aku? Jika dicuri, oleh siapa? Aku ingin tahu. Langsung tidak meninggalkan sebarang kesan luka atau sakit di dada. Cuma yang aku tahu, hati aku sedang gembira dan bahgia tatkala ini.

***

Aku buka penutup botol bewarna merah, coke. Tekak aku kering, dahaga. Aku minum. Ahh, nikmatnya hidup ini. Deruan air sejuk itu berterusan mengalir di kerongkong turun ke perut. Aku sendawa. Tiba tiba, penutup botol bewarna merah itu terjatuh. Aku kabut. Lihat ia bergolek laju terus terusan dari sini hingga ke penghujung dinding. Ia berhenti. Terlanggar kasut seorang gadis. Aku lihat ke wajah gadis itu, cantik. Menyejukkan hati, menyegarkan mata. Keindahan terpancar di wajahnya. Hormon kelakian aku bergelora. Bidadari syurga aku kah ini? Aku tak peduli pada penutup botol bewarna merah tadi. Laju aku ke arah gadis itu.

"Hai, erm.. ka.aaa.mu... cann...tikkkk." Gugup.

Aku berlalu pergi, dan sesekali aku menoleh. Aku nampak riak kebingungan kamu. Aku tersenyum atas kebodohan sendiri. Gagap dengan perempuan? Kah kah kah

***

"Apa aku nak buat dengan hati lelaki ini? Semalam dia menarik perhatian hati aku. Kini hati aku sudah terpaut dengan hatinya. Aku mahu simpan hati ini buat selamanya. Sentiasa. Disampingku. Semoga yang baik itu kembali kepadamu, wahai lelaki." Kata gadis itu sambil tersenyum menampakkan baris gigi yang cantik.