03 June 2016

Melankolia Di Putrajaya


Selesai berbaring memandang tembus kipas siling yang berlegar mengejar sesama sendiri di atas katil bujang usang yang telah berkhidmat sedari aku berumur 5 tahun lagi, selama seminggu, sudah tiba masanya untuk aku keluar menghirup udara segar, luar dari kepompong pengudaraan sekitar rumah lebih lebih lagi bilik aku.

Kata hati, lepak Putrajaya 2, 3  hari cukup lah. Jumpa kekawan lama, jumpa orang baru, simbah jasad dengan kerunsingan kota, gesel gesel badan dengan amoi dalam tren, apa salahnya. Sekali lajak sampai seminggu apa kes pun aku taktau.

Sebelum bergerak menuju ke Putrajaya, aku ambil keputusan untuk menghabiskan masa selama 6jam di Nu Sentral, atau lebih spesifiknya di dalam MPH untuk membaca buku free, lama lama. Satu taktik yang berkesan bagi kutu buku yang tak berduit seperti aku ini, untuk menghabiskan sisa sepi dengan bauan lambakan buku baru di dalamnya. Orang silih berganti, buku demi buku aku baca. Selama 6jam duduk sampai kebas punggung, sempat jugak 3 buku aku khatam. Aku baca agak laju dari biasa, tapi disebabkan aku dah lama tak membaca buku (selalu bergelumang dengan journal je) aku hanya ingat apa yang otak aku nak ingat je.

Sesekali aku keluar ke seberang, area rumah merah untuk hisap rokok dan jauh sikit mall. Senang, kalau kena saman jugak aku taktau nak kata apa. Sambil smoking, tengok gelandangan masih dengan hidup depa. Yang dengan tisu, tisu lah. Yang dengan hidu gam terang terangan, dengan gam depa lah. Yang aku tak nampak amoi amoi rumah merah, ye lah bukannya aku masuk ke dalam riki badan depa pun. Bapak bapak ayam je steady smoking kat depan kedai sambil suit suit ke arah aku, ajak naik atas tengok dan layan amoi. Teksi teksi tenang tunggu pelanggan, kereta kereta memenuhi jalanraya. Terkadang rindu jugak dengan kehidupan berhabuk tengah kota ni, tapi itu lah sudah aku tetapkan dalam jiwa, kota bukan tempat untuk aku diami.

Sampai Kajang, Manal sembang pasal keraguan hati terhadap bakal pakwe pada aku. Kesan dari dah lama tak jumpa aku berbanding dengan kutu kutu lain, dia nampak lebih yakin bila aku bukak mulut keluar kata kata dari aku. Padahal dia taktau, aku buat buat pandai je masa dia mintak pandangan dari aku tu. Otw ke Putrajaya, Manal text appreciation pada aku melalui Amin. Aku geleng kepala, mudah betul kerja aku ni.

Jumpa kawan kawan lama, takde lah sedap mana sebenarnya. Masing masing dah ada kehidupan masing masing. Cuma dia jadi seronok bila kau dapat duduk se-table sambil minum kopi, cerita pasal kenangan dulu dulu paling tak boleh skip. Mesti punya. Siapa skip, terang terang dia tak fun masa dulu dulu.

Aku teringat dalam wallet aku ada rm250 baucer buku, expired lagi sebulan. Fakerr, berat jugak tugas aku kali ni, nak kena settle kan baucer buku ni time cuti cuti gini. Last last aku amik keputusan untuk ke Dubook Store je kat Bangi pasal aku ingat dan aku confirm beli kat bookstore confirm confirm ada promosi. Selama aku bergelumang dengan journal pun aku tahu je buku buku baru yang keluar, malangnya untuk perabis semua baucer buku tu, aku borong buku buku lama yang kutu kutu buku lain tak cari, yakni buku buku lama. Angkut buku buku lama, buku puisi sebarang dua, bibliografi Butterfingers dan  bersembang dengan makwe jaga kaunter dekat setengah jam juga memandangkan masa tu takde orang lain mengisi kedai.

Dari layan scene buku, aku ke scene half-cut kereta pulak. 3jam aku duduk, mundar mandir ke satu kereta ke satu kereta riki harga itu ini tambah ilmu sikit sikit. Aku takde lah minat mana scene kereta ni, kalau orang sembang dengan aku pun aku banyak mendengar sambil mengangguk je. Kekadang kita kena tahu, bila masa yang sesuai untuk kita diam tanpa bicara dan berkata bila kau memang dah ready untuk dapat feedback dari kata kata kau yang tadi. Seronok tengok orang dengan passion depa, jenis gila babi punya. Kekadang aku terfikir, depa ni takde lah kaya mana pun tapi cepat je pam duit untuk salin besi besi dan seangkatan dengannya. Entah berapa batang rokok aku hisap kat sini aku pun tak ingat, bukan sebab bosan menunggu tapi sebab nyamuk banyak hanat walaupun asap dari kedai jual satay kat sebelah je.

Abang aku pergi kerja, tinggal aku sesorang mana boleh jadi. Nak melepak siang siang tak sedap pula, jadi aku hanya ambil keputusan untuk berlegar di sekitar dengan berjalan kaki sahaja. Masa ni, aku pun taktau kenapa aku acah acah lonely sangat. Hisap rokok sambil tengok bebudak balik sekolah agama dari kejauhan, kekadang rasa nak marah bila depa ni lintas jalan tak tengok kereta kiri kanan. Kat situ rasa lah sikit tanggungjawab sebagai orang dewasa mula menular dalam diri. Tapi tak juga sebenarnya, part paling menular kedewasaan adalah bila aku perati bebudak masih bermain bola semasa azan Maghrib dilaungkan. Rasa nak marah, perangai abah abah.

Ada satu pagi Jumaat tu punyalah aku lapar, usai Subuh aku terus text Amin untuk melampias nafsu. Betul lah orang kata, dengan nafsu memang tak boleg buat main. Sedangkan sebelum aku tidur malam tadi tu, perut aku sangat kekenyangan sampai aku rasa "eh, betul ke nak tidur ni?" Sampai macam tu sekali rasa kenyang dia malam tu. Peliknya, lepas bangun dari tidur perasaan lapar yang entah dari mana wujudiahnya datang pun aku tak tahu. Amin kata okay, dia okay aku pun okay lah. Sampai Sg Ramal, Manal order roti telur 2, 1 untuk aku 1 lagi untuk dia. Amin buat ramah dengan acik nasik lemak, mungkin sebab anak dia lawa dan sedap mata memandang. Aku rasa tak cukup, aku tambah pesan, bihun goreng telur mata. Pelan pelan kami makan, Berhuhu sambil berasap sebatang dua, tiba masa nak bayar taukey kedai kata "semua makanan untuk hari ni dah ada orang bayarkan." Aku geleng kepala. Alhamdulillah, pagi tu pagi yang mengeyangkan dan rasa diberkati betul. Aku harap orang yang sedekah (bayarkan) tu kenyang dengan keikhlasan dia, insyaAllah.

Punya banyak benda skeptikal yang aku lalui. Tapi malas pulak aku nak menaip beberapa insiden lagi. Tentang yang telah menaikkan jati diri serta keyakinan aku. Tentang peristiwa tak cukup wang dua negara. Dan tentang kita hanya merancang Tuhan yang menentukan.

Cukuplah hanya aku tahu. Tulis panjang panjang pun kau peduli apa kan?