"Woi, rokok sebatang !" Aku menjerit dari dalam kereta ke arah Wahn yang sedang menunggang Ninja hitamnya.
Wahn membuka bahagian dagu helmet Arai-nya untuk membetah, "Babilah kau ! Itu Jim dalam kereta ada rokok taknak mintak."
Aku cepat membangkang, "Jim babi taknak kasi, cakap aku kena ikut dia stop smoking."
Usai mendengar, Wahn dengan mudah mematahkan ayat aku, "Kau lah bodoh, nak hisap rokok tapi ikut dia buat apa?" Sambil menghulurkan sebatang Dunhill berserta pemetik api.
Kata kata akhir dari Wahn itu berjaya buat aku berfikir sejenak tentang sesuatu. Dalam hidup ni jalan paling bahagia dan mudah adalah buat benda yang kau suka. Benda yang kau rasa seronok tanpa fikir mengenai orang lain. Tenang aku memetik pemetik api lalu membakar rokok tersebut, aku menghisap dengan penuh rasa kepuasan. Jim dibelakang hanya senyap memandang lagak aku, manakala Iz di sebelah aku masih fokus memandu menuju ke Kuala Kubu Bharu. Suatu tempat kami menghimpun cerita tentang segala.
Melihat ke arah luar cermin, bukit nian menghijau dan matahari sedikit galak menabur bakti pada sang petani, membawa kepada kata minimalis tadi. Hmm, masalah wujud pada setiap manusia dalam dunia ini. Kenapa perlu runsing perihal orang sedangkan diri sendiri punya masalah yang harus diselesaikan? Adakah aku sudah tidak kuat untuk mengharungi segala onak terkadang duri menusuk kaki lagi?
Tidak. Setiap utusan, tindakan dan keputusan yang dibuat seharusnya berpaksi pada kerelaan dan kesediaan aku sendiri. Tiada orang ketiga patut masuk campur sebenarnya.
Dulu aku pernah bertanya pada Mak Ayah tentang, "Orang ada lagi setahun nak habiskan ijazah ni. Mak Ayah rasa, kalau tetibe Orang amik keputusan nak quit belajar macam mana? Orang dah mula rasa malas nak hadap esaimen, pergi kelas, kuiz, final exam dan pointer."
Ayah hanya menjawab, "Buat lah apa yang awak suka. Tapi kalau nak quit belajar pun, asalkan awak ada kerja ada benda nak buat tak goyang kaki Ayah okay je."
Dan Mak pulak menjawab, "Jangan mengada, lagi setahun je tinggal, lepas tu nak buat apa buat lah. Apa saja yang awak suka. Tapi macam Ayah awak cakap, kalau ada kerja nak buat tak kisah lah."
Itu hanya soalan mahu menguji jawapan Mak Ayah, yang melahir membelai dan menjaga aku sehingga nafas kini. Yang lebih arif tentang lenggok dan perilaku diri ini. Tidak aku maksudkannya yang sebenarnya. Aku tidak kuat lagi untuk berbuat demikian.
Sedang aku berkira kira dengan mengaju soalan tersebut pada Mak Ayah, Wahn sahabat remaja aku sudah membuat keputusan drastik dan aku suka dengan cara dia walau sedikit komen dari Jim tentang masa depan.
Wahn quit diploma dia di sebuah institusi pengajian teknikal, walhal hanya tinggal 1 semester sahaja untuk grad dan konvo. Wahn kini bekerja bawah Boss lama di tempat dia praktikal dulu hari. Disebabkan beberapa aspek, Boss dia jaga macam anak sendiri dan boleh aku kira sudah rezeki dia, jangan berdalih kawan. Perihal rezeki ni, kalau aku cakap baik dan sedap tu maka fahamlah, ini bukan jenis rezeki sikit sikit punya.
"Kenapa kau tak habiskan je diploma bodoh? Lagi 1 sem je pun" Tanya aku berserta sedikit rasa cinta.
"A'ah lagi 1 sem je. Kau tak fikir paper repeat aku berapa banyak pulak?" Dia menjawab mudah dan diakhiri dengan gelak setan dari Aku, Jim dan Iz.
Salute.
This hand deserves for you, Bro.
Salute !
This hand deserves for you, Bro.
Salute !
Arwah Bapak (ayah angkat) pernah berkata, "Buat je apa yang hang suka. Kalau masalah datang, kita lawan. Kita jangan jadi bodoh, kalau kita tak buat apa yang kita suka hari ni, esok lusa masalah tetap akan datang jugak. Bila dia datang je, ingat, kita lawan sampai habis."
Kita semua layak untuk seronok dengan perkara yang kita senang dan sukakan. Well, mestilah setelah memikir rasional disebalik keputusan yang bakal menyusul. Aku okay, aku pegang kata itu.
Malam itu Wahn belanja kami semua makan malam sambil bercerita tentang putih hitam dunia, dan kami hanya mengiyakan sahaja sambil tersenyum bangga.
Sebelum aku menjejak kaki kiri ke tanah dari kereta, Iz membuka mulut bertanya sesuatu, "Kau rasa patut tak aku berhenti kerja dari tempat tu Dale?" Aku silang lengan macam Boss Wahn, lalu menjawab, "Kau kalau dah tak suka dengan pekerjaan yang kau tengah buat tu, kau berhenti jelah. Nak rasa berdosa apa kalau kau dah tak seronok dengan kerja dia, tak suka dengan perangai haram dia?" Sambil tersenyum kepadanya aku melangkah keluar.
Alu cakap pandai, fikir macam Einstein tapi masalah sendiri tak boleh fikir. Apa punya masalah hati kau ada cara dan solusinya teman ? Mari sini kita berbual.
Dan hari itu jugak baru aku ingat yang diet rokok sudah rosak lepak dengan kutu kutu ni.
No comments:
Post a Comment